Saturday, 13 May 2017

2 Siswa UiTM Maut Dihempap Pokok Ketika Perkhemahan


BENTONG – Dua peserta perkhemahan anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) maut apabila dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang di Lata Charok, Janda Baik, di sini pagi ini.

Seorang lagi mangsa dilaporkan hilang akibat terperangkap di bawah timbunan pokok timbang terbabit namun operasi mencari dan menyelamat mangsa terbabit sedang giat dilakukan oleh pihak berkuasa ketika ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama-sama 68 pelajar lain sedang mengikuti program perkhemahan di situ.

Empat lagi penuntut pusat pengajian terbabit dilaporkan mengalami kecederaan. Sehingga kini identiti dua mangsa yang meninggal dunia hanya dikenali sebagai Nor Ain Mokhtar dan Muhammad Kamil Syukri.

“Semasa kejadian, sebatang pokok tumbang dan menghempap beberapa penuntut. Pasukan bomba sedang melakukan operasi bagi membawa keluar mangsa yang dihantar ke Hospital Bentong,” katanya.

Difahamkan, program perkhemahan tersebut dianjurkan pihak UiTM Puncak Alam, Selangor dengan disertai lebih 200 orang. Seramai 76 peserta mengambil bahagian menginap di tapak perkhemahan di Lata Charok.

Manakala selebihnya dilaporkan menginap di sebuah resort yang terletak berhampiran dengan tempat kejadian. Punca pokok itu tumbang bagaimanapun tidak dapat dipastikan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments