Tuesday 7 March 2017

Wadah Kecam Laporan `The Gospel Herald Society’


KUALA LUMPUR – Sekretariat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) mengecam laporan `The Gospel Herald Society’ berhubung kes penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo di Selangor pada 13 Februari lalu.

Naib Presidennya, Abdul Halim Ismail berkata, `The Gospel Herald Society’ menyiarkan laporan bertajuk “Paderi Malaysia Diculik Dua Minggu Lalu, Berkemungkinan Dibunuh Oleh Muslim, Kata Anaknya”.

Justeru, katanya, Wadah menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup agar mengekalkan sikap sabar, tenang dan rasional dalam menghadapi isu seperti itu.

“Penculikan Keng Joo menuntut keprihatian semua pihak. Ini tidak hanya kerana kebimbangan dan kerisauan terhadap keselamatan nyawa beliau serta simpati kita kepada keluarga dan penganut Kristian.

“Tetapi juga kerana implikasinya terhadap hubungan antara agama di Malaysia. Ini disebabkan adanya percubaan untuk menggambarkan penculikan ini sebagai komplot umat Islam yang marah terhadap aktiviti evangelistik paderi tersebut.

“Kenyataan seperti ini boleh menambah prejudis dan kebencian yang boleh menggugat keharmonian hidup antara kaum dan agama,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halim dalam pada itu mengingatkan Islam tidak membenarkan tindakan di luar batas undang-undang seperti menculik dan membunuh.

Kata beliau, penyelesaian tidak akan tercapai jika kebencian dihadapi dengan kebencian dan provokasi dibalas dengan provokasi.

Malah, katanya, Islam menegaskan bahawa sebarang perbezaan dan salah faham yang terjadi dalam masyarakat perlu diselesaikan secara bertamadun menerusi musyawarah, dialog, wacana dan interaksi positif.

“Sekiranya siasatan membuktikan bahawa mereka yang melakukan penculikan adalah orang-orang Islam, harus difahami bahawa tindakan tersebut sama sekali bertentangan dengan prinsip Islam dan mereka yang melakukannya bukan mewakili pendirian penganut Islam,” katanya.

Keng Joo dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10 pada 13 Februari lalu.

Mangsa kali terakhir dilihat memandu kereta jenis model Honda Accord dengan nombor pendaftaran ST 5515 D seorang diri semasa kejadian.

Satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) didakwa memaparkan penculikan paderi itu turut tersebar di media sosial. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments