Monday 6 March 2017

Pelancong Korea Cedera ‘Diserang’ Kera Liar


KUANTAN – Seorang pelancong lelaki Korea Selatan cedera ringan selepas ‘diserang’ sekumpulan kera liar di Pantai Teluk Cempedak di sini, hari ini.

Serangan itu berlaku ketika Pyoeng Seok, 69, bersiar-siar seorang diri pada kira-kira 11 pagi di pusat peranginan itu, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusoff.

Mangsa yang dikatakan sedang berjalan menuju ke Teluk Tongkang bersebelahan Teluk Cempedak, terkejut bila melihat sekumpulan kera liar ‘sedang mengekorinya’.


Melihat gerak laku haiwan itu seolah-olah akan menyerangnya, mangsa lantas melarikan diri.

Namun mangsa terjatuh di celah-celah batu menyebabkan dia cedera di kepala dan calar di tangan, kata Zainal semasa dihubungi di sini.

Katanya, APM dimaklumkan tentang kejadian pada pukul 11.13 pagi dan lima anggota serta sebuah ambulan dikejarkan ke tempat kejadian.

Mangsa diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta di sini untuk pemeriksaan lanjut, tambahnya. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments