KUCHING: Bermula dengan melanggar lampu merah, berakhir dengan melanggar kereta polis, sebelum melanggar pembahagi jalan.
Itulah episod “langgar” oleh tiga lelaki dalam aksi kejar-mengejar halaju tinggi di bandar raya ini awal pagi tadi.
Menurut Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.35 pagi tadi, apabila sebuah kereta peronda polis sedang mengadakan rondaan cegah jenayah di kawasan Kota Samarahan.
“Sewaktu berada di lampu isyarat Taman Riveria, Kota Samarahan mereka telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva berwarna hitam yang dinaiki tiga individu dalam keadaan mencurigakan.
“Kenderaan tersebut telah dipandu laju dan gagal berhenti di lampu isyarat merah.
Kata Mathew, anggota peronda polis tadi kemudian membunyikan siren dan hidupkan lampu matarah untuk menahan dan mengarahkan suspek iaitu pemandu Perodua Viva terbabit berhenti di bahu jalan namun dia engkar.
“Sebaliknya suspek terus memecut laju kenderaanya tanpa menghiraukan amaran polis.
“Kejar-mengejar berlaku dengan anggota terbabit mendapatkan bantuan peronda polis dari Daerah Kuching.
Kata Mathew, ketika suspek hampir melalui Jambatan Tun Abang Salahuddin, kenderaan peronda polis cuba memintas suspek.
“Suspek sebaliknya melanggar bahagian hadapan kenderaan peronda sebelum terbabas ke tepi pembahagi jalan.
“Selepas terbabas, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri, namun dua daripadanya berjaya ditangkap oleh anggota terbabit.
Seorang lagi rakan mereka kata Mathew, menyerah diri kepada pihak polis kemudian.
Kesemua suspek katanya, kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Samarahan, dan disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah samun.
“Impak pelanggaran tersebut telah menyebabkan lampu sebelah kiri kereta peronda terbabit pecah dan sedikit kerosakan pada bahagian lain.
“Kes masih dalam siasatan dan pihak kami mengklasifikasikannya di bawah R6(1)LN166/59,” katanya lagi. – Sarawakvoice
No comments:
Write comments