Wednesday, 15 March 2017

Hati-Hati Cacing Sesat Dari Haiwan Peliharaan


ADAKAH anda membela anjing atau kucing? Pernahkah anda mendengar mengenai Cutaneous Larva Migran atau ‘cacing sesat’?

Seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Abdul Rahim Nor berkongsi maklumat dengan lebih terperinci mengenai cacing sesat yang kebiasaannya hidup dan membesar pada kucing dan anjing.

Menerusi perkongsian di Faceboknya, beliau pernah menerima seorang pesakit yang terkejut apabila melihat kulit badannya seperti ada ‘peta jalan bengkang bengkok’.

Jelasnya, tanda berkenaan selalunya ada di badan, kaki, tangan atau punggung dan ianya dikenali sebagai Cutaneous Larva Migran atau lebih mudah cacing sesat.

Katanya, cacing tersebut hidup dan membesar hanya di kucing dan anjing. Ia terjadi apabila haiwan berkenaan membuang air besar bersama telur cacing ini yang menetas menjadi larva filariform yang hidup dalam tanah, lumpur, pasir dan tempat kotor.

“Kalau kita bekerja atau anak bermain di kawasan yang ada najis ini, jaga-jaga, kita boleh tertelan telurnya atau larva ini boleh menembus masuk ke dalam kulit manusia.

“Pada awalnya kulit anda mula membentuk biji kemerahan yang sangat gatal. Larva cacing ini hanya boleh bergerak melalui terowong yang dibentuknya di permukaan kulit kita, ia tidak boleh masuk ke dalam badan anda.

“Dari bentuk biji merah, lepas itu memanjang dan menjalar menjadi bengkang bengkok macam ular,” tulisnya.

Dr. Abdul Rahim berkata, individu yang mempunyai tanda berkenaan perlu mendapatkan rawatan doktor dan makan ubat cacing selama dua hingga tiga hari.

“Makan antibiotik kalau infeksi dan krim gatal. Kalau nasib baik, terowong yang terdepan itu kemungkinan ada larva cacing, doktor korek jer la,” tulisnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini boleh layari laman Facebook Abdul Rahim Nor. - MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments