TULAR di laman sosial gambar seorang pelancong warga Korea mencuba mengenakan sampin sebagai skirt ketika mengunjungi Bazar Ramadan Mega 2017 di Hang Tuah Mall, Melaka, baru-baru ini.
Gambar yang dimuat naik oleh Mohamed Asiff Mohamed Amiz, 29, di laman Facebook itu lantas mencuit hati netizen akan aksi wanita itu yang cuba memadankan baju kemeja putih dengan sampin berwarna hitam silver.
Menurut Mohamed Asiff, wanita Korea tersebut sebelum ini pernah datang ke bazar tersebut bersama keluarganya namun hanya melihat koleksi sampin yang dijual di sebuah gerai di bazar berkenaan.
Namun, keesokan harinya iaitu pada Rabu lalu, Mohamed Asiff sekali lagi berjumpa dengan wanita Korea tersebut namun kali ini pelancong tersebut terus mengambil sampin dan mencubanya sebagai skirt.
Melihat aksi wanita itu, Mohamed Asidd akui awalnya berasa pelik kerana wanita itu mahu membeli samping untuk dipakai sebagai skirt.
“Namun apabila dilihat padanan dengan bajunya, nampak sesuai pula. Mungkin itu juga tujuan dia membeli samping terbabit.
“Kami cuba juga bertanya, namun wanita terbabit tidak fasih berbahasa Inggeris. Malah suaminya yang juga warga korea hanya menyebut perkataan ‘good’ sepanjang kami di sana.
“Garu kepala juga melihat gelagat wanita Korea itu. Namun apabila melihat samping yang disarung ala skirt itu nampak sesuai, kami rasa kagum pula,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro.
Tambah Mohamed Asiff, aksi wanita mengenakan sampin itu turut membuatkan hampir 20 pengunjung mengerumuni gerai terbabit dan suasana bertukar meriah. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments