Thursday, 4 May 2017

Video: Pandu Macam ‘Pelesit’ Kemudian Langgar Lari


AKSI seorang pemandu kereta kompak, Ford Fiesta yang memandu secara berbahaya sebelum melanggar sebuah kereta dalam kejadian di Rawang baru-baru ini menjadi tular di laman sosial.

Menerusi video dashcam yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7.08 malam di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Rawang.

Berdasarkan rakaman, pemandu kereta berwarna biru itu dilihat memecut laju, menukar lorong secara melulu tanpa memberikan isyarat sebelum beberapa saat kemudian melanggar sebuah kereta Nissan yang berada di hadapannya.

Akibat rempuhan kuat itu, kereta mangsa berputar sebelum sekali lagi dilanggar pada bahagian depan mengakibatkan kenderaan itu remuk.


Ekoran perlanggaran tersebut, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut laju meninggalkan lokasi kejadian kemalangan.

Insiden tersebut mengundang kemarahan ramai dan netizen menghentam teruk pemandu Ford Fiesta tersebut.

Bagaimanapun, tampil seorang lelaki dikenali sebagai Hariharen Annadurai mengakui kereta tersebut merupakan miliknya namun mendakwa pada hari kejadian keretanya itu tidak dipandu olehnya.


“Saya baharu menonton video ini, maaf semua. Sebenarnya apa yang berlaku (pada hari kejadian) adalah saya telah meminjamkan kereta itu kepada kawan dan dia memandunya.

“Saya sedia maklum bahawa kereta saya terlibat dalam kemalangan, tetapi kawan saya beritahu bahawa seseorang telah melanggar dan lari ketika kereta diparkir di kawasan sekitar rumahnya.

“Terima kasih untuk perkongsian video ini, jadi sekarang saya tahu kebenaran dan apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Hariharen, laporan polis berhubung kemalangan itu akan dibuat dan dia memohon agar netizen tidak menyalahkannya dan kereta itu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments