Tuesday, 9 May 2017

Video: Biar Betul… Indonesia Dilanda Salji?


SEJAK beberapa hari lalu, media sosial Indonesia heboh memperkatakan mengenai kehadiran buih putih yang menyamai seperti salji di Jalan Jenderal Sudirman, Jakarta.

Semuanya bermula apabila satu rakaman video tular yang dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Widodo Notohadinagoro, memaparkan rakaman sebahagian jalan berkenaan putih seperti dilitupi salji.

Dalam video berkenaan, dapat dilihat secara jelas keadaan ‘hujan salji’ tebal memenuhi ruang jalan raya dan di sekitar laluan pejalan kaki.

Bagaimanapun lapor portal Jawapos.com, buih putih itu bukannya salji tetapi buih daripada cecair sabun yang tumpah di jalan raya.

Cecair itu secara kebetulan dilaporkan tertumpah dari projek pembinaan transit laju massa (MRT) di kawasan berkenaan.

Menurut Jurucakap MRT, Tubagus Hikmatullah, cecair seperti sabun itu digunakan untuk melembutkan tanah ketika proses menggali terowong untuk projek berkenaan.

“Ia merupakan baki sisa cecair yang masih tersimpan di tapak projek berhampiran namun tertumpah dan mengalir di sekitar jalan Patun Permuda,” katanya.

Difahamkan, hujan yang turun tidak lama selepas itu menyebabkan cecair itu menjadi buih putih seperti salji.

Tambah Tubagus, buih-buih berkenaan tidak berbahaya dan pihaknya akan mengambil tindakan susulan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments