Wednesday, 10 May 2017

Sanggup Tinggal Di Bandar Kecil Ini Dapat RM9,470


ROM – Tinggal di sebuah bandar terpencil yang indah di pergunungan Itali nampaknya bukan pilihan utama ketika ini, dan dilema itu turut dialami kota kecil Bormida di wilayah Savona.

Terletak kira-kira 584 kilometer dari ibu kota Rom, bandar kecil tersebut ditinggalkan ramai penduduk khasnya golongan muda yang lebih selesa berhijrah dan kini hanya ada 394 orang sahaja sanggup menetap di sana.

Keadaan pelik sebegini tentu memeningkan kepala datuk bandarnya sendiri, Daniele Galliano yang berusaha keras untuk meningkatkan bilangan penduduk di kota yang dipimpinnya itu sebelum langsung lenyap dalam peta.

Salah satu cara yang digunakan adalah dengan menawarkan wang tunai sebanyak 2,000 euro (kira-kira RM9,470) bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk pindah ke kota itu dan terus bermastautin sehingga akhir hayat.

Selain ganjaran wang tunai sekali harung, insentif lain ialah kadar sewa rumah yang jauh lebih murah daripada pasaran iaitu hanya 50 euro (RM237) sebulan atau 120 euro (RM568) untuk kediaman dengan saiz lebih besar.

Setelah memuat naik video tawaran unik itu menerusi akaun rasmi Facebooknya, Bormida tiba-tiba dibanjiri permohonan penduduk baharu dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Britain sehinggalah Indonesia.

Ramai dikatakan tertarik dengan tawaran itu kerana ingin menjalani hidup lebih sederhana. Ada juga yang meminta fasiliti wi-fi berkelajuan tinggi agar mereka dapat tetap bekerja seperti biasa jika berpindah ke kota kecil itu.


Namun, datuk bandar tersebut mengingatkan, usul insentif wang tunai berkenaan masih perlu mendapatkan persetujuan daripada ahli-ahli dewan perbandaran kerana peruntukan tidak boleh diberi sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun isu sewa rumah yang sangat murah itu, Galliano menjanjikan boleh dituntut dalam tempoh dua bulan. Kota kecil itu pernah memiliki penduduk cukup ramai sehingga mencecah 1,000 orang pada 1950-an lalu.

Malangnya, sejak Perang Dunia II berakhir, Itali dilanda gelombang urbanisasi secara besar-besaran yang sekali gus mengakibatkan bandar-bandar kecil dan desa kehilangan ramai penduduk tetapnya dalam masa cukup singkat.

Meskipun sunyi, Bormida memiliki fasiliti lengkap termasuk rangkaian jalan raya yang cukup luas, empat restoran, masing-masing sebuah perpustakaan, farmasi, pejabat pos dibuka tiga hari seminggu, pasar mini serta hotel.

Bagaimana pula denga aspek fasiliti kesihatan awam? Jangan bimbang kerana seorang doktor sedia berkunjung ke Bormida sebanyak tiga kali dalam seminggu untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk yang jatuh sakit.

Namun, tinggal di kota ini penduduknya harus kreatif jika mahu berhibur diri kerana bandar terbesar paling dekat, iaitu Genoa, berjarak sekitar 80 kilometer. Jika tidak, boleh tonton sahaja hiburan menerusi siaran televisyen.

“Tidak banyak kegiatan di sini. Tetapi kehidupan sangat sederhana dan bersifat alami. Ada hutan, kambing dan cukup makanan. Hidup dijamin bebas tekanan,”ujar seorang pengurus restoran setempat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments