SERAM… Penduduk di sekitar bandar Leila, Sandakan, Sabah baru-baru ini hidup dalam ketakutan gara-gara penampakan hantu ‘pocong’ di sebuah perhentian bas.
Kewujudan jelmaan ‘pocong’ itu lantas membuatkan pengguna jalan raya yang melalui perhentian bas itu terkejut sehinggakan ada yang takut untuk melalui kawasan tersebut.
Bagaimanapun, identiti sebenar pocong itu terjawab selepas seorang penduduk Mohd. Rezuwan Batjo, 35, melakukan pemeriksaan selepas mendapat aduan dari ahli keluarganya yang ketakutan.
Ternyata, lembaga pocong tersebut hanyalah sebuah patung yang diperbuat daripada guni dan diselimuti kain putih serta diisi dengan kain kanvas di dalamnya.
Gambar ‘pocong’ tersebut turut menjadi tular menerusi laman sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, pihaknya percaya tindakan itu mungkin dilakukan bagi menakutkan orang ramai.
“Kita meminta individu yang menyaksikan kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan jika mempunyai maklumat lanjut.
“Saya juga meminta penduduk setempat supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam. Perbuatan itu satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments