Friday, 12 May 2017

Nanas Tertinggal Atas Meja Tiba-Tiba Jadi Karya Seni


LONDON – Tindakan dua penuntut Universiti Robert Gordon di Aberdeen, Scotland yang membeli sebiji nanas dan kemudian tertinggal di atas meja bertukar menjadi pengalaman lucu!

Menurut media tempatan, Ruairi Gray dan sahabatnya, Lloyd Jack memutuskan untuk mengisi masa lapang dengan menanam pokok tropika berkenaan di kampus mereka yang terletak kira-kira 878 kilometer dari ibu kota London.

Mereka kemudian membeli nanas tersebut di sebuah pasar raya setempat dengan harga serendah hanya satu pound sterling (kira-kira RM5.60) sebelum balik semula ke asrama penginapan di pusat pengajian tinggi berkenaan.

Secara kebetulan di universiti tersebut sedang berlangsung satu pameran karya seni. Ruairi dan Lloyd kemudian dapat idea spontan untuk buat eksperimen lucu dengan sengaja meletakkan buah itu di atas satu meja kosong.

Mereka berjalan pergi meninggalkan nanas tersebut untuk melihat siapakah yang mungkin mengambil buah itu atau disimpan sendiri oleh pihak penganjur sebagai barangan ditinggalkan pelawat untuk dituntut semula kemudian.

Di sekitar buah tersebut sebenarnya terdapat banyak karya seni asli oleh pelbagai artis sama ada yang digantung, dilekatkan di dinding atau dipamerkan di atas meja khas untuk tontonan peminat menghayati bahan pameran.


Empat hari kemudian, mereka kembali ke tempat nanas tersebut ditinggalkan dan betapa terkejutnya apabila mendapati buah itu sudah dipindahkan ke tempat yang lebih ‘berprestij’ seolah-olah ia karya bernilai tinggi.

Buah tropika itu diletakkan dalam kotak kaca seperti objek seni mahal lain di sekitarnya. Rupa-rupanya, kurator pameran berkenaan menyangka nanas tersebut adalah sebuah karya seni hebat dan perlu dipelihara baik.

Melihat keadaan itu, Ruairi dan Lloyd tidak henti-henti tertawa apabila tidak menyangka tindakan mereka dianggap sebagai serius oleh penganjur. Katanya kepada portal berita DailyMail, ia pengalaman paling lucu pernah dialami.

Sementara itu, pegawai penganjur festival seni universiti, Natalie Kerr menyatakan bahawa kemunculan buah nanas yang diletakkan sebagai bahan karya seni tersebut adalah kes situasi amat misteri sepanjang beliau bertugas.

“Tiada seorang pun tahu siapa yang meletakkan nanas ini di dalam kotak kaca. Ketua penjaga pameran ada juga melihatnya dan bertanya kepada seorang pensyarah seni, apakah status nanas itu kerana dia juga meraguinya.

“Tetapi kami pula secara kebetulan sibuk memindahkan barang-barang pameran. Selepas 10 minit kemudian, kami melihat nanas itu sudah berada dalam kotak kaca,” jelas Natalie. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments