SEORANG wanita maut selepas dibelasah dengan tombak oleh anaknya sendiri yang menghidap sakit mental di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Linau, Kota Belud, Sabah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, mangsa, Teh Jari, 57, ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumahnya oleh seorang lagi anaknya yang tinggal bersebelahan rumahnya.
Difahamkan, sebelum kejadian, anak mangsa terdengar jeritan meminta tolong dari rumah ibunya dan mendapati adiknya (suspek) terburu-buru keluar meninggalkan rumah.
Mangsa yang bekerja sebagai petani dibawa ke Hospital Kota Belud sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan akibat parah di bahagian tangan, dada dan muka pada 4.40 pagi tadi.
Susulan kejadian itu, laporan polis dibuat dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud berjaya memberkas suspek yang berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tombak sebelum disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian tangan, dada dan muka,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek merupakan pesakit mental dan pernah dirawat di Hospital Mesra, Bukit Padang, Luyang, Kota Kinabalu. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments