Monday 6 March 2017

Tuduh Polis Ugut Bunuh Famili Jika Enggan Mengaku


BEIJING – Lelaki warga Korea Utara yang diusir mendakwa konon polis Malaysia ugut akan bunuh ahli keluarganya jika enggan mengaku membunuh abang tiri pemimpin Pyongyang, Kim Jong-nam.

Ro Jong-chol membuat tohmahan jahat itu ketika ditemuramah ramai pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing di sini pada Sabtu dalam perjalanan transit balik ke Korea Utara setelah diusir dari Malaysia.

Pakar kimia tersebut turut tersenyum gembira sejurus selamat mendarat di ibu kota China itu selepas dilepaskan susulan Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Apandi Ali pada Khamis mengesahkan tiada bukti kukuh pendakwaan.

Jong-chol, 46, dicekup polis di apartmennya di Kuala Lumpur pada 17 Februari lalu hasil siasatan terhadap Đoàn Thị Hương, 28, warga Vietnam; dan Siti Aisyah, 25, warga Indonesia yang ditahan secara berasingan sebelum itu.

Dua suspek wanita itu sudah dihadapkan ke sebuah mahkamah di Sepang, Selangor pada Rabu atas dakwaan bunuh terhadap Jong-nam, 45; di dewan perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari.

“Saya sedar ini merupakan rancangan konspirasi jahat Malaysia untuk cuba memburukkan taraf dan penghormatan republik (Korea Utara),” tegas Jong-chol dengan nada angkuh ketika diwawancara media Korea Selatan dan Jepun.

Dia yang tidak fasih berbahasa Inggeris itu meluahkan kenyataan biadap tersebut sewaktu ditemui wartawan di luar bangunan Kedutaan Korea Utara di sini yang dikawal ketat polis China sebelum dibawa pulang ke Pyongyang.

Polis Malaysia ujar Jong-chol, turut menunjukkan bukti palsu dan konon mengancam akan membunuh semua anggota keluarganya yang menetap di Kuala Lumpur lebih setahun lalu jika dia enggan mengakui kesalahannya.

Pakar teknologi maklumat yang tidak pernah bekerja di Malaysia itu turut menuduh konon pihak penyiasat polis Malaysia turut menunjukkan gambar-gambar ahli keluarganya yang didakwa ditahan sebagai ‘cagaran’ bagi dirinya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Jong-chol diusir kerana tinggal di negara itu tanpa dokumen perjalanan sah malah disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selepas ini.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan warga Korea Utara perlu ada visa untuk datang ke Malaysia mulai Isnin depan sebagai langkah mengelak ejen perisik Pyongyang cuba menyusup masuk negara ini.

Setakat ini, polis Malaysia mengenal pasti beberapa suspek rakyat Korea Utara termasuk setiausaha kedua kedutaan negara rejim komunis itu, Hyon Kwang-song dan pekerja syarikat penerbangan rasmi Air Koryo, Kim Uk-il.

Jong-nam dipercayai dibunuh dengan diserkup bahan beracun agen saraf VX yang diharamkan badan antarabangsa oleh dua suspek wanita Asia tenggara berkenaan ketika mahu terbang ke Macau, China untuk bertemu keluarganya.

Mendiang dikatakan menjadi sasaran pembunuhan oleh adik tirinya, pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un sejak lima tahun lalu kerana dibimbangi akan merampas pemerintahan negara itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments