COLUMBIA (Amerika Syarikat) – Kegagalan elektrik serta masalah lain didakwa antara punca pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 terhempas di Lautan Hindi, menurut saman yang difailkan di sini, Jumaat lalu.
Saman yang difailkan terhadap Boeing di Mahkamah Distrik Amerika Syarikat di South Carolina mendakwa tujuh pincang tugas termasuk kebakaran elektrik dan kehilangan tekanan dalam pesawat yang boleh menyebabkan kru kapal hilang kesedaran, transponder berhenti menghantar maklumat dan pesawat terbang tanpa dikesan sehingga ia terhempas selepas kehabisan minyak.
Ia turut mendakwa usaha mencari pesawat itu telah tamat tanpa kemuktamadan yang membawa kepada “kerugian ekonomi dan bukan ekonomi, masalah emosi dan fizikal, kecemasan serta masalah mental dan penderitaan” bagi mangsa dan keluarga mereka. Ia tidak meminta jumlah bayaran ganti rugi.
Selain itu, saman itu mendakwa Boeing juga tidak menggunakan teknologi sedia ada dalam pesawat 777 yang dapat mengesan lokasinya pada setiap masa selain membolehkan perakam suara kokpit dan perakam penerbangan lebih senang ditemui.
Boeing juga didakwa mengetahui mengenai kelemahan reka bentuk pada pesawat termasuk pendawaian rosak berhampiran bahan mudah terbakar seperti bekalan oksigen kecemasan untuk anak kapal.
“Kerosakan itu menyebabkan atau membenarkan berlakunya kegagalan elektrik di atas pesawat yang melumpuhkan sistem utama… mengakibatkan pesawat sukar dikawal oleh anak kapal atau berkomunikasi sehingga ia kehabisan minyak,” menurut saman itu.
Saman itu difailkan oleh Gregory Keith selaku pentadbir khas bagi keluarga penumpang MH370. Seramai 44 mangsa dinamakan sebagai plaintif.
Ia difailkan di South Carolina kerana Boeing mendirikan kilang baru di negeri itu untuk membina pesawat 787 Dreamliner.
Namun pesawat MH370 adalah Boeing 777 dan saman tidak menyatakan di mana ia dibina.
Boeing tidak mengulas mengenai tindakan undang-undang yang belum selesai.
Pesawat itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.
Pencarian tiga tahun di selatan Lautan Hindi digantung sementara oleh Malaysia, Australia dan China pada 17 Januari lalu. – AP/myMetro Online
No comments:
Write comments