Friday, 3 March 2017

Pasangan Suami Isteri Serang Wanita Tolak Anak Mereka


SEPASANG suami isteri dirakamkan bergaduh besar dengan seorang wanita di sebuah stesen kereta api bawah tanah di timur China, menurut laman berita antarabangsa Daily Mail.

Lucunya, pergaduhan itu tercetus berpunca daripada anak pasangan Mao berusia lima tahun yang terlompat-lompat di atas bangku dan terpijak kot putih salah seorang penumpang wanita yang dikenali sebagai Chen.

Difahamkan pergaduhan itu mula tercetus selepas Chen bertindak memarahi dan menolak budak lelaki itu yang menyebabkan kemarahan ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Pergaduhan yang berlaku di Nanjing Subway, wilayah Jiangsu pada 27 Februari lalu itu sempat dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stesen berkenaan.



Menurut Mao, mereka telah memohon maaf terhadap Chen namun wanita itu tetap meninggikan suara dan berkata “Tahukah anda bertapa geramnya saya? Budak ini patut dihukum,” cerita Mao kepada wartawan.

Manakala Chen pula memberitahu Jiangsu Television, dia berhadapan dengan hari yang sukar dan berasa terganggu dengan kelibat kanak- kanak itu yang bermain-main di kawasan tempat duduk menunggu itu.

Tambahnya lagi, anak kepada pasangan Mao yang ‘buas’ itu ada menendangnya beberapa kali sebelum memijak kot dipakainya.

Menerusi klip itu, Mao dilihat berdiri di hadapan bangku manakala isterinya yang memakai jaket merah jambu sedang duduk di bangku bersebelahan Chen sebelum pergaduhan tercetus.

Isteri Mao dilihat menolak Chen sebelum Mao menyertainya dan beberapa tumbukan dan tendangan dihalakan kepada wanita tersebut sebelum tersungkur ke lantai.

Akibat pergaduhan itu, Chen mengalami kecederaan pada bahagian mata.

Pihak polis tempatan meminta Mao dan isteri membayar 200 yuan (RM128) kepada Chen sebagai biaya rawatan perubatan. Pasangan itu dibebaskan selepas semua urusan selesai. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments