Friday, 3 March 2017

Anak Saleem Iklim Tiada Niat Raih Populariti


ANAK kepada penyanyi legenda popular era 1990’an mengakui tidak menyangka video nyanyian menerusi aplikasi Smule menjadi tular menerusi media sosial.

Ia sekali gus membuatkan dirinya mula menjadi perhatian netizen akhir-akhir ini setelah kisah kehidupannya sebagai anggota bomba didedahkan oleh Mynewshub baru-baru ini.


Menurut Nursyafiq, dia lanfsung tiada niat untuk mencari perhatian ramai sebaliknya hanya menyanyi di Smule sekadar suka-suka.


“Saya jadi malu pula sebab bimbang orang kata saya sengaja mencari populariti sedangkan sebelum ini ramai yang menyanyi menggunakan Smule.

“Saya menyanyi sekadar mengisi masa lapang tetapi tidak tahu pula mendapat perhatian orang ramai, itu pun selepas dimaklumkan oleh rakan.

“Saya tiada niat pun nak suruh orang tularkan video nyanyian saya itu sebab ia dilakukan kerana saya memang suka menyanyi,” katanya kepada Harian Metro.

Pada masa yang sama, jejaka berusia 23 tahun ini menjelaskan, dia juga tidak pernah berhasrat ingin menceburi bidang nyanyian seperti bapanya meskipun memiliki darah seni.

“Saya tak fikir pun nak masuk mana-mana rancangan realiti nyanyian sebab saya menyanyi sekadar suka-suka. Memang tak terfikir nak jadi penyanyi macam ayah,” katanya lagi.

Terdahulu, kisah Nursyafiq menjadi tular selepas Mynewshub melaporkan dia memiliki suara serak-serak basah persis bapanya.

Kelebihan suara yang dimilikinya lantas membuatkan dia yang bertugas sebagai anggota bomba dan penyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Johor itu menjadi perbualan di laman Facebook.

Dalam pada itu, Nursyafiq memberitahu dia ada menyertai sebuah kumpulan muzik terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat dikenali Fire Fingers JDT dan sering membuat persembahan ketika majlis rasmi jabatan. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments