PARIS – Polis di ibu kota Perancis dikejutkan dengan satu insiden serangan di gereja besar terkenal Notre Dame dan menasihati orang ramai supaya menjauhi kawasan tersebut buat sementara waktu.
Demikian menurut jurucakap polis Paris dalam satu kenyataan media dimuat naik menerusi laman sosial Twitter lewat Selasa. Suspek bersenjatakan tukul besi dan pisau itu dikenal pasti sebagai pelajar berasal dari Algeria.
Stesen tempatan BFM TV melaporkan bahawa seorang pegawai polis sempat menembak seorang lelaki yang cuba menyerangnya dengan tukul tersebut dan suspek kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk menerima rawatan.
Polis mengesahkan salah seorang daripada pegawainya turut cedera tetapi keadaannya tidak begitu serius dan perkara tersebut turut disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerard Collomb ketika ditemui pihak media.
Kawasan di hadapan gereja itu sudahpun dikepung. Notre Dame yang siap dibina pada tahun 1345 dengan seni bina Gothic amat terkenal dalam kalangan pelancong asing sehingga menyaksikan pelawat beratur panjang untuk masuk.
Media Perancis melaporkan ramai pelancong luar yang cemas dilihat berlari mencari tempat perlindungan sewaktu serangan dramatik itu berlaku. Suspek tersebut turut kedengaran menjerit dengan kuat: “Ini adalah demi Syria!”
Saksi mendakwa mendengar dua das tembakan sebelum penyerang itu rebah ke tanah. Paris kini terus diletakkan dalam tahap keselamatan tinggi selepas pelbagai serangan kumpulan pelampau Islam meletus di kota raya tersebut.
Pada 2015, ia digegarkan serangan berdarah menyaksikan 130 maut. Serangan meletus tiga hari selepas jirannya, London kecoh insiden sama dengan tujuh maut dan tiga penyerang ditembak mati. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments