JAKARTA – Manusia tertua di dunia, Mbah Gotho, yang berasal dari daerah Seragaen, wilayah Jawa Tengah sedang dirawat selepas dimasukkan ke sebuah hospital awam baru-baru ini.
Warga Indonesia yang nama sebenarnya ialah Suparman alias Sodimejo itu dilaporkan media tempatan sebagai sudah tidak lagi berselera untuk makan sehingga keadaan kesihatannya juga semakin bertambah buruk.
Semasa Mbah Gotho dirawat di hospital, dia marah dan enggan jarinya disuntik kerana takut dengan jarum. Malah, dek terlalu takut, dia memekik dan meminta agar dirinya dicampakkan ke Sungai Bengawan Solo agar cepat mati.
Namun setelah menjalani tiga rawatan perubatan, keadaan lelaki tua berusia 146 tahun itu beransur pulih, menurut salah seorang cucu lelaki berkenaan, Suwarni ketika memberitahu portal berita merdeka.com semalam.
“Sudah makin sihat keadaan Mbah Gotho. Kelmarin, darah jenis O sebanyak empat kantung disalurkan ke dalam tubuh. Datuk pun boleh makan sedikit demi sedikit. Kami semua cemas kerana dia kan tidak pernah jatuh sakit.
“Apatah lagi dirawat di mana-mana hospital, tambah lagi melihat dan merasa suntikan jarum. Ini pertama kali. Jadi dia menjerit-jerit supaya dirinya dibuang saja di Sungai Bengawan Solo biar cepat mati,” kongsi Suwarni.
Walaupun demikian, setelah Mbah Gotho mula berasa tenang dengan tangannya disuntik, dipakaikan lampin dan berada di wad yang berhawa dingin, dia dapat menyesuaikan diri dengan sekitaran hospital, tambah Suwarni.
“Setelah kami berusaha memberikan penjelasan yang sebenar, barulah Mbah Gotho dapat menerima keadaannya. Sekarang dia tidak berasa takut lagi untuk disuntik dengan jarum oleh doktor,” kata wanita berkenaan.
Lelaki itu ada sepuluh orang adik beradik tetapi sudah meninggal dunia termasuk empat isterinya yang terakhir sekali meninggal pada 1988. Semua anaknya juga sudah tiada dan kini dia tinggal bersama cucu dan cicitnya.
Mbah Gotho, yang menyambut ulang tahun ke-146 pada 31 Disember tahun lalu, terpaksa dikejarkan ke hospital tersebut sejak Rabu setelah dikatakan enggan menelan sebarang makanan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments