RIYADH – Rakaman video memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump konon begitu mengagumi Kaabah di Masjidil Haram, Makkah dekat sini rupa-rupanya adalah palsu.
Pendedahan tersebut disiarkan beberapa akhbar tempatan pada Rabu secara kebetulan ketika pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud meninggalkan Malaysia untuk melawat pula negara jirannya, Indonesia.
Video berdurasi selama 28 saat itu mulanya disiarkan stesen penyiaran terkenal AS iaitu ABC baru-baru ini yang memaparkan Trump terpegun melihat suasana umat Islam tekun bertawaf mengelilingi Kaabah pada waktu siang.
Tidak dipastikan apakah sebab klip tersebut disiarkan, namun ada menyifatkan ia susulan kemarahan masyarakat antarabangsa berhubung sekatan perjalanan terhadap rakyat tujuh negara Islam yang diarahkan Trump sebelum ini.
Rakaman tersebut kemudian menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial di negara-negara Islam terutama Arab Saudi, lokasi terletaknya kiblat umat Islam di Tanah Suci setelah dibina Nabi Ibrahim AS ribuan tahun lalu.
Namun, tinjauan media Arab Saudi mendapati ia sebenarnya telah diubah suai daripada versi asalnya menunjukkan Trump melihat gambar memaparkan suasana ketika majlis angkat sumpah jawatan dirinya pada 20 Januari lalu.
Trump dalam video sebenar dilaporkan teruja menyaksikan gambar itu sambil menyifatkan ia sebagai ‘lautan cinta’ apabila diberitahu ramai penyokongnya datang ke majlis tersebut dari seluruh negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments