Friday, 3 March 2017

Tutup Jalan Elak Katak Mengawan Kena Gelek


HARRISBURG – Perkhidmatan Taman Negara menutup jalan raya di Pennsylvania lebih awal berbanding jadual asal bagi mengelakkan katak dan salamander digelek kenderaan.

Ini kerana banyak haiwan itu akan keluar beramai-ramai mencari pasangan sepanjang musim mengawan. Ketika cuaca elok, ratusan dan kadang-kala mencecah ribuan amfibia bergerak di seluruh wilayah itu untuk mengawan.

Namun, disebabkan cuaca sejuk luar biasa kali ini, jalan perlu ditutup waktu malam di Middle Smithfield Township lebih awal tahun ini ketika gerombolan katak, salamander bintik dan amfibia lain mencari pasangan masing-masing.

“Tahun ini, jalan ditutup pada Februari, yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini,” kata seorang renjer taman, Kathleen Sandt kepada stesen tempatan WNEP.

Berbanding sebelum ini, musim mengawan adalah antara pertengahan Mac hingga pertengahan April. Tahun ini ia bermula lebih awal, iaitu pada awal Mac.

Jalan raya di kawasan Taman Rekreasi Negara Delaware Water Gap ditutup mulai jam 5.00 petang hingga 6.30 pagi.

Jika anda dapat lihat, di belakang kita adalah hutan dan di situ ia menghabiskan musim sejuk dan kemudian keluar apabila keadaan semakin elok,” kata Sandt.

Penutupan jalan juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan proses bertelur yang dianggap mengagumkan, selain mendengar bunyi katak.

Pemandu yang melanggar arahan boleh dikenakan denda antara AS$50 hingga AS$150 (RM222 hingga RM667) dan hukuman jenayah, jika mencederakan pejalan kaki. – RUSSIA TODAY

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments