KANGAR – Ketika umat Islam di Selangor kecoh dengan kontroversi penganjuran pesta arak yang disokong kerajaan negeri, lain pula hal di Perlis apabila Zombie Run dibenarkan tanpa masalah!
Bahkan Mufti Perlis, Prof. Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang terkenal lantang menegur amalan lazim masyarakat Melayu kerana dianggap sebagai bidaah seperti bacaan Yasin malam Jumaat, juga tidak membantah usaha tersebut.
Ia disahkan Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Khairin Nazry Karim dipetik portal Menara.my ketika mengulas isu larian Zombie itu di sini pada Sabtu minggu lalu yang tular dalam kalangan netizen tempatan.
“Saya tidak nampak program Zombie Run itu boleh menjurus kepada aktiviti yang dapat memesongkan akidah mana-mana umat Islam di Malaysia terutamanya penduduk tempatan di negeri Perlis sendiri,” kata beliau.
Menurutnya, isu ditularkan menerusi media sosial itu hanyalah salah faham orang ramai mengenai spesies zombie itu sendiri apabila terdapat netizen yang mengatakan konon perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.
Bahkan ada pengguna media sosial mendakwa konon penganjuran larian zombie itu boleh membabitkan soal akidah apabila umat Islam yang lemah iman mempercayai makhluk tersebut lebih hebat kuasanya daripada Allah sendiri.
“Pihak MPK sendiri mengelola penganjuran larian itu termasuk mencipta poster dan menyediakan ruang Facebook bagi memudahkan peserta dapat maklumat dan untuk daftar bagi menyertai acara disediakan,” kata Khairin Nazry.
Beliau menyatakan bahawa pihak Majlis Agama Islam Perlis termasuk mufti negeri juga tidak membuat teguran atau meminta dibatalkan program berkenaan yang sememangnya tidak ada yang salah daripada mana-mana sudut.
Beliau menegaskan motif pihak berkuasa tempatan berkenaan memilih tema zombieadalah disebabkan ‘fun’ sahaja atau berkonsepkan keceriaan tanpa melibatkan apa-apa yang pelik pun termasuk penggunaan perkara mistik.
Menurut Khairin Nazry: “Kalau kita lihat budaya dan sejarah zombie itu sendiri yang terdapat menerusi filem-filem seram termasuk dalam buku mahupun komik dan drama tempatan, tidakkah sifat zombie itu mengejar orang?
“Justeru kita mengambil tema ‘mengejar’ itulah iaitu berlari secara suka-suka, yang lebih kepada aspek kehidupan dan kesihatan. Kita hanya mahu peserta berlari untuk sihat dalam hidup mereka sendiri,” kata beliau lagi.
Khairin Nazry malah menyatakan bahawa dari segi sejarah juga mencatatkan zombieini bukan kategori horror atau seram waima ia bukan sejenis hantu berunsur mistik sebagai mana difikirkan banyak pihak selama ini.
“Zombie ini merupakan kategori sains fiksyen, sebab asalnya ia bukanlah orang mati kemudian rohnya bertukar jadi hantu atau jembalang tetapi adalah satu kumpulan manusia yang terkena virus dan bertukar menjadi zombie.
“Ia juga bukan spesies hantu, maka tidak ada elemen mistik dan pemesongan akidah pun,” katanya menambah bahawa acara ini adalah salah satu program MPK Di Hati Rakyat yang sudah diadakan sejak tahun lepas lagi.
Bahkan ia adalah pengisian program tahun kedua penganjuran seumpama ini diadakan. Bagi pengisian tahun ini MPK turut menganjurkan kepelbagaian program untuk kanak-kanak, orang tua, remaja, belia dan sebagainya.
“Selain kepelbagaian program, terdapat juga bermacam-macam lagi kategori program disediakan termasuklah majlis ilmu, program hiburan, festival makanan dan kita turut anjur program ‘Sepinggan nasi untuk Rohingnya’.”
Kata Khairin Nazry, bagi program kesihatan dan kecergasan inilah pihaknya menganjurkan program larian Zombie Run yang lebih berkonsepkan Fun Run sejauh lima kilometer dengan bertemakan ‘Run For Your Life’.
“Selain menekankan aspek kesihatan, kita mewujudkan aspek fun dalam larian itu dan tiada kena mengena unsur tahyul atau mistik sehingga boleh memesongkan akidah seperti diviralkan,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments