AWAL September lalu, kecoh tentang isu saman menyaman antara dua ahli kumpulan Elite iaitu Watie dan Hana.
Kes ini berlarutan sehingga kini apabila Hana diisytiharkan muflis sekali gus menghalangnya untuk ke luar negara bertemu dua orang anaknya di Britain.
Semalam, berlangsungnya bacaan prosiding yang akan menentukan jumlah dan cara pembayaran perlu dilakukan Watie yang mendakwa dirinya tidak mampu membayar jumlah wang dituntut sebanyak RM707,351.83.
Dalam prosiding itu, Watie mengakui hanya RM2,500 sahaja yang mampu dibayar setiap bulan sebagai bayaran tuntutan ganti rugi yang dibuat oleh Hana.
Hal itu kerana pendapatan yang diterimanya tidak menentu dan bidang lakonan merupakan satu-satunya kerjaya tempat pergantungan sara hidup ketika ini.
“Berpandukan kepada penyata bank milik saya, jumlah pendapatan pada 2015 hanyalah RM69,610 manakala pada 2016 hanya RM34,200.
“Manakala bagi 2017 dari Januari hingga Jun hanya RM2,500 yang dimasukkan ke dalam akaun.
“Tahun ini saya akui ada terima bayaran RM900 sehari bagi 40 episod drama bersiri. Ia diterima secara tunai tetapi itu saja yang diterima.
“Pendapatan saya tidak menentu kadang-kadang RM5,000 atau RM12,000 bergantung kepada apa yang saya buat,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Walau bagaimanapun, mahkamah belum menetapkan sebarang kata putus dan akan membacakan keputusannya pada 25 Oktober akan datang.
Tambah Watie lagi, dia turut perlu membayar bil bulanan yang lain serta menampung perbelanjaan harian jumlah pembayaran tersebut dikongsi bersama suaminya, Zulkifli Daud (Joey).
“Semua bayaran dikongsi bersama dengan suami. Jika saya ada duit, saya akan bayar dan jika suami ada duit, dia yang akan bayar.
“Saya tidak mempunyai simpanan dan saya tidak rasa akan memperoleh sebarang pinjaman jika mahu menyelesaikan hutang Hana secara langsai.
“Saya sanggup buat pinjaman jika itu boleh menyelesaikan hutang itu tetapi pelakon seperti saya tidak mungkin,” katanya.
Terdahulu, Hana telah memfailkan saman terhadap Watie berkenaan kegagalan Watie membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010.
Watie telah membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish menggunakan nama Hana kerana pada waktu itu Watie tidak layak untuk membuat pinjaman. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
No comments:
Write comments