Thursday, 12 October 2017

'Banyak Complaint, Jadilah AJK Seniman' – Zed Zaidi


TIZ Zaqyah antara nama pelakon yang disegani di Malaysia kerana aksi lakonanannya mampu menghidupkan sesuatu watak dengan penuh jayanya.

Tetapi, baru-baru ini Tiz seakan membaling ‘bom’ kepada pihak Seniman dengan mendakwa mereka tidak menjaga artis Malaysia apabila dia memuat naik beberapa InstaStory menerusi laman Instagramnya.

Asalnya, pelakon drama Nur Kasih ini seakan-akan berang dengan perilaku beberapa artis lain yang secara keseluruhannya telah memberikan imej buruk kepada semua artis.


Bukan itu sahaja, malah Tiz mempersoalkan tugas Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam menjaga hal kebajikan para artis.

Dia juga mempersoalkan untuk apa pembayaran kad ahli dibuat tetapi tidak mendapat sebarang kelebihan pun daripada Seniman.


Disebabkan entri yang dimuat naik Tiz itu seakan mempertikaikan kewibawaan Seniman, presidennya, pelakon Zed Zaidi tampil memberikan kenyataannya.

Menurutnya, luahan seperti entri tersebut tidak akan ubah apa-apa dan tidak bantu anak seni yang lain jika ia tidak diutarakan serta tidak dibincangkan dalam mesyuarat agung yang diadakan Seniman.

“Cakap senang, kita buat mesyuarat panggil semua pengiat seni tidak pernah nampak batang hidung pun. Kalau dia rasa berhadapan dengan masalah sila utarakan dalam mesyuarat nanti.

“Kalau banyak sangat complaint saya nak lantik dia jadi Ahli Jawatankuasa tahun depan. Jangan samakan kita dengan industri luar, mereka sudah lama.

“Persatuan kita dalam proses pembelajaran dan sebab itu kita mahu semua orang memberi sokongan dan idea,” katanya dipetik mStar Online.


Dalam entrinya itu, Tiz ada berkongsi tentang pengalamannya ketika mengikuti pengambaraan Oh My English! di New York. Katanya kesatuan seni di sana sangat menjaga anak buahnya walaupun sekadar pelakon pembantu.

Tambahnya lagi, mereka turut menetapkan bayaran minimum yang diterima artis dan had waktu kerja untuk sehari.

Menjawab kenyataan aktres yang pernah memegang title Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2016 itu, Zed menyatakan Tiz seharusnya mengetahui kandungan kad ahli tersebut sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Ini kerana pihaknya sudah membuktikan fungsi Seniman dalam menjaga kebajikan anak seni dengan berjaya mendapatkan skim insurans sepanjang hayat untuk mereka.


“Kad ahli itu adalah penting sebagai lesen supaya kawal industri daripada banjiran pelakon luar. Seperti negara jiran Indonesia, mereka ada syarat yang sangat ketat untuk membenarkan pelakon luar masuk industri mereka.

“Mereka buat begitu untuk mengutamakan pelakon-pelakon tempatan mereka. Kita perlu ada badan yang kawal dan beri lesen iaitu kad ahli kepada pelakon yang ingin aktif dalam industri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zed turut membidas persepsi sesetengah netizen yang melabelkan artis Malaysia sebagai ‘bimbo’ dengan menyatakan dia kini sedang berusaha untuk buka peluang membawa artis melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Utara Malaysia.

Katanya, itu sebagai salah satu usaha untuk mengubah persepsi yang dilontarkan netizen.

“Dia tidak tahu dan ambil tahu tentang perkara-perkara itu, dia hanya tahu cari kesalahan sahaja. Berkaitan masa bekerja itu kami sedang memperjuangkannya dan ia bukan sesuatu yang mudah seperti bercakap di laman sosial,” ujarnya.

Industri hiburan tanah air ini kecil dan saling bergantungan antara satu sama lain dengan penggiatnya. Jadi, perkara seperti ini seharusnya diselesaikan dengan baik demi kemajuan industri sendiri. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments