SEGAMAT: Seorang Inspektor polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya merempuh lori pengangkut sisa pepejal, di Jalan Genuang, dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Irwanzi Idrus, 30, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Segamat, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Raub Selamat, berkata mangsa yang menunggang motosikal Honda CBR 1,000 CC dalam perjalanan ke Hospital Segamat bagi menjalankan siasatan kes di bawah kendaliannya.
"Setibanya di persimpangan jalan di Kilometer 4, menghala ke Labis, secara tiba-tiba sebuah lori membelok ke kanan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan itu," katanya ketika di temui di Jabatan Forensik Hospital Segamat, di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat sejak dua tahun lalu, parah di bahagian dalaman badan, selain kedua-dua tangan patah.
Raub berkata, arwah baru diraikan oleh rakan anggota IPD Segamat sempena hari ulang tahun kelahirannya ke-30 tahun pada 1 Mac lalu.
Katanya, pemandu lori berusia 50-an itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, mangsa meninggalkan seorang isteri, Noraslina Refin, 20-an dan seorang anak perempuan berusia tiga tahun dan bayi lelaki berusia tiga bulan. - BHonline






No comments:
Write comments