Sunday, 12 March 2017

'Hantu' punca Presiden Brazil berpindah


RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil Michel Temer menyalahkan nasib malang dan malah hantu kerana menyebabkannya terpaksa berpindah daripada kediaman rasmi di ibu kota Brasilia. 

Akhbar mingguan Brazil, Veja melaporkan semalam, Temer mengejutkan kalangan pemerhati politik minggu ini dengan pendedahan beliau terpaksa keluar dari Alvorada Palace ke kediaman lebih kecil naib presiden bersama isterinya, bekas ratu cantik dan anak lelaki mereka. 

Alvorada, bermaksud dinihari, direka arkitek tempatan Oscar Niemeyer, adalah kediaman impian dengan kolam renang besar, padang bola sepak, gereja kecil, pusat perubatan dan laman besar.

Namun Temer, 76, dan isterinya, Marcela, 33, bersama anak lelaki tujuh tahun mereka mendapati, kediaman besar dengan sebahagian besarnya kaca itu berhantu. 


"Saya merasa sesuatu yang pelik di sana. Saya tidak dapat tidur sejak malam pertama berpindah. Tenaga di rumah itu tidak bagus. 

"Marcela juga merasakan perkara sama. Hanya Michelzinho (anak lelaki), berlari dari hujung ke hujung, menyukainya. 

"Kami sendiri tertanya-tanya, adakah kediaman ini berhantu," kata Temer dilaporkan berkata kepada Veja. 

Menurut laporan akhbar Globo, malah Marcela membawa paderi dalam cubaan mengusir roh jahat, namun tidak berjaya. 

Keluarga pertama itu kemudian berpindah ke kediaman mewah berhampiran namun lebih kecil, Jaburu Palace. - AFP

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments