Saturday 12 August 2017

Pelajar Maut Gara-Gara Sebatang Rokok…


GARA-GARA sebatang rokok, seorang pelajar tingkatan lima maut setelah terjatuh dari balkoni sebuah hotel di Kampar, Perak dalam kejadian pada awal pagi Sabtu.

Lapor Harian Metro, dalam insiden pada kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Hon Seong Yan, 17, maut disyaki terjatuh ketika keluar ke balkoni hotel untuk menghisap sebatang rokok.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, daripada maklumat pensyarah pengiring, pelajar itu keluar ke balkoni kerana dilarang menghisap di dalam bilik berhawa dingin.

Difahamkan, Seong Yan adalah salah seorang daripada sekumpulan pelajar sebuah kolej di Petaling Jaya, Selangor yang sedang mengikuti seminar keagamaan di hotel tersebut.

“Pensyarah tersebut masuk ke bilik seminar dan mendapati mangsa tiada di dalam bilik berkenaan. Seorang pelajar lain cuba mencari mangsa, namun mereka gagal menemuinya.

“Sejurus kemudian, kawan-kawannya menjenguk keluar dari balkoni dan mendapati mangsa terbaring di hadapan lobi hotel dalam keadaan berlumuran darah,” kata Kong Soon.

Tambah beliau, pihak pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa dan polis telah membuka kertas siasatan mati mengejut itu.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di dalam kejadian ini dan mangsa dipercayai terjatuh semasa berada di balkoni yang sempit.

“Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kampar mendapati punca utama kematian adalah kecederaan parah pada kepala,” ujarnya lagi.

Kong Soon berkata, mayat mangsa kemudian telah diserahkan kepada ahli keluarganya bagi urusan pengkebumian. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments